|
Aku dalam kegelisahan. Dalam kegundahan. Dan mungkin dalam kesedihan. Aku tak tahu bagaimana untuk handle dan mempositifkan diri dalam menghadapi situasi ini. Tak seperti suatu masa dulu, aku mampu untuk bertenang dan menyabarkan diri dalam menghadapi situasi sebegini walau hakikatnya amat perit dirasakan. Namun makin lama kekuatan diri aku makin pudar, mungkin kerana ketulusan hati aku makin hilang dari hari ke hari. Apakah yang patut aku lakukan.. aku bingung. Aku berusaha mempertahankan pemikiran yang positif bahawa orang lain tidak sepatutnya menjadi penyebab untuk aku berada dalam kesedihan dan kegundahan sebegini. Namun, sungguh payah untuk aku mengekalkan kepositifan tersebut. Aku berada dalam dilema. Aku berada dalam kegelisahan. Sepatutnya sebagai orang yang berakal waras dan berfikiran logik,aku patut tahu bahawa tiada gunanya untuk aku berfikir mengenainya lagi. Sudah terang lagi bersuluh bahawa tiada kebaikan dalam dirinya yang boleh membuatkan aku begitu memikirkan dia. Lagi satu harus aku ingat ialah berpisah dengan dia merupakan suatu istirehat aku dalam hidup dari melakukan dosa. Aku tahu bagaimana sikapnya, bagaimana peribadinya, bagaimana minatnya. Tapi entah kenapa hati aku begitu terpanggil-panggil untuk terus memikirkan dia. Mungkin kerana kenangan lama yang masih tidak dapat padam dari ingatan aku. Aku berusaha untuk melupakan kenangan itu, dan sentiasa memikirkan betapa negatifnya kenangan itu. Tapi hakikatnya aku tidak dapat menipu diri aku sendiri bahawa di dalam pahit, masih jua ada tersimpan yang manis.. Yang pastinya semuanya itu datang dari syaitan.... Aku pernah berdoa pada Allah suatu ketika dulu bahawa aku tidak sanggup untuk terus jauh dariNya, aku tidak sanggup untuk terus membiarkan diri aku hanyut dalam kepalsuan dunia, dan juga aku tidak sanggup untuk terus bergelumang dengan pendustaan hati dan cinta yang sejati. Aku tidak sanggup untuk terus berada dalam alam itu. Mungkin ini adalah jawapan Allah pada doa-doa aku sebelum ini... Allah telah memakbulkan doa aku dengan memisahkan aku dari kehidupan itu.. Berpisah dengannya bererti istirehat... Ya Allah.. ampunilah dosaku yang telah lalu, sekarang dan akan datang.. ampunilah dosa kedua ibu bapaku dan dosa seluruh umat islam yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia.. lapangkanlah dadaku dalam menghadapi dugaanMu ini.. gantikanlah aku dengan seorang yang lebih baik darinya dan tariklah kembali cintaku ini seandainya ia diberikan pada orang yang tidak sepatutnya mendapat cinta yang sejati dari ku.. ampunilah aku atas segala keterlanjuran.. Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.. amiin..
|